Wednesday, October 26

PARTI ISLAM AN-NAHDAH MENANG BESAR DI TUNISIA, PAS UCAP TAHNIAH. TAKBIR!

 

 
PAS mengucapkan tahniah kepada Parti An-Nahdah yang memenangi pilihan raya Tunisia, 24 Oktober lalu. Presidennya, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berharap, kemenangan itu diterima oleh masyarakat antarabangsa walaupun ia dimenangi oleh parti Islam.

Sebenarnya, kata beliau, An-Nahdah pernah memenangi pilihan raya Tunisia beberapa tahun lalu dengan majoriti yang besar, tetapi kemenangan itu dinafikan dan Parti An-Nahdah diharamkan, pemimpinnya dipenjara dan sebahagiannya terpaksa berhijrah keluar negara seperti Dr Rashid Ganouchi.

"Saya dimaklumkan An-Nahdah boleh memenangi pilihan raya dengan lebih besar jika bertanding di hampir kesemua kerusi. Tetapi An-Nahdah sengaja tidak bertanding di kesemua kerusi bagi memberi peluang kepada parti lain turut sama bertanding," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang dalam satu kenyataan kepada Harakah.

Mereka bersedia untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan parti-parti lain bagi menggantikan pemerintahan sebelumnya yang bersifat diktator dan ditunjangi dengan hanya satu parti, ujarnya.

"Ini kerana sebagai parti yang menyertai demokrasi, An-Nahdah ingin menampilkan sikap toleransi dan bertolak ansur, walaupun majoriti rakyat Tunisia menerima An-Nahdah.

"Mereka sangat dekat di hati rakyat melalui kerja-kerja kebajikan yang dilakukan di bawah, jauh sebelum musim pilihan raya lagi, walaupun dalam keadaan parti diharamkan," katanya.

PAS berharap kemenangan ini memberi semangat bukan sahaja kepada pendukung parti Islam yang memilih demokrasi tetapi juga kepada rakyat dengan memberi peluang dan sokongan kepada parti Islam memerintah dan memperbetulkan urus tadbir politik, ekonomi dan sosial negara setelah sekian lama berada di bawah rejim sekular yang gagal memerintah Tunisia sehingga digulingkan rakyat.

Beliau juga sebenarnya telah menghantar ucapan tahniah kepada An-Nahdah melalui Dr Syed Azman yang menyertai pasukan pemerhati antarabangsa ke Tunisia ketika ini.

Sementara itu, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah di atas kemenangan an-Nahdah itu.

"Saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah di atas kemenangan Parti An-Nahdah di Tunisia di dalam pilihanraya umum semalam. Semoga dengan kemenangan ini, Islam lebih bersinar di bumi Tunisia," ujarnya melalui Twitter.

Paling penting, katanya keadilan dan kebajikan rakyat terbela di bawah pemerintahan yang adil berteraskan syariat Islam.

"Sesungguhnya di mana saja berlakunya kepekatan malam, akan tiba juga fajar yang menyinsing," ujarnya.

Parti An-Nahdah telah telah memenangi lebih daripada 30 peratus kerusi di perhimpunan 217 kerusi Tunisia, dalam pilihan raya bersejarah negara tersebut sebagaimana dilaporkan agensi berita AFP.

No comments:

Post a Comment