Wednesday, October 26

Keutamaan Agen Muslih dalam Era Islam Kini Dalam Menempuh Aspek Khilafiyyah

Kebangkitan arus jarah-menjarah, tuduh menuduh, atau berlakon seolah-olah muhaqqiq yang sahih adalah mehnah yang telah lama melanda dunia Islam dan tidak sunyi juga di bumi Malaysia ini sedari abad ke 19. Tokoh-tokoh yang menggelar mereka sebagai agen salafi sering menyalahgunakan kepakaran dan kebijaksanaan untuk membawa halatuju islamisasi Islam secara tadarruj yang molek. Tulisan ini bukan menyelar aliran salafi. Salaf adalah pegangan aqidah dan Ibadah yang paling selamat. Salafiyyah adalah berdasarkan tinggalan salafussoleh dan bukannya mazhab (sila rujuk Al Buti, Salafiyyah zaman yang Berkat Bukannya Mazhab). Ianya bukan boleh dibuat-buat sebagai sebuah aliran. Ianya adalah suatu dakwah yang halus dan terperinci untuk menghalakan masyarakat kepada fahaman lama yang dibarukan (rebranding). Hal ini dinyatakan sendiri oleh tokoh dakwah terkenal dengan Mottonya "Dakwah kami adalah dakwah baru yang lama". Baru dalam erti kata methodologi yang baru, segar serta waqii'y dengan tidak meninggalkan kerangka sawwabit serta konseptual sunnah yang sebenar walaupun adjustment yang tidak melanggar syara' mungkin diperlukan. Hal inilah yang menjustifikasikan ulama' semasa untuk berijtihad dalam pelbagai perkara termasuk di dalam hal methodologi dakwah.
Salah kah salafiyyah?
Mengapa perlu dipersalahkan era salaf? Kurun terbaik adalah kurun tersebut. Pembawa dakwah aliran salaf seperti Imam Ahmad, Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qaiyyim sendiri adalah tulang belakang agama terkenal dalam menjadi perisai Islam daripada hujah-hujah musuh Islam. Namun membawa masyarakat kepada Sunnah bukan membawa secara sistemik ke belakang. Ulama'-ulama' selepas era salaf (tabiin ke bawah) telah mendisiplinkan pelbagai keilmuan serta mensistematikkan ilmu berkenaan demi kemudahan kepada masyarakat untuk menuruti sunnah. Sunnah walaupun ada yang bersifat praktikal yang perlu dikekalkan namun masih banyak sunnah yang konseptual yang memerlukan elemen kontekstual (oleh ulama' yang faqih sahaja) untuk membawa sunnah dalam masyarakat setempat yang rencam dan pelbagai ragam.
Dakwah suatu tanggungjawab muslih
Setiap yang bergelar pendakwah adalah agen muslih. Orang yang muslih akan cuba mengubah masyarakat seperti mencabut rambut di dalam tepung. Orang yang muslih akan mengikut konsep tadarruj (beransur-ansur) dalam membawa dakwah. Sifat syariah sendiri yang membawa kepada penghapusan perhambaan (sila lihat Tafsir Al Azhar), pengharaman arak yang berkesan serta memusnahkan beberapa karat jahiliyyah secara menyeluruh dan komprehensif tanpa meninggalkan kejengkelan di kalangan mad'u Rasulullah SAW sendiri.
Apa yang kita dapat dengan mengharamkan pembacaan Yasin? Apa yang kita dapat dengan menceritakan konsep ikhtilaf kepada orang awam yang jahil (walaupun ada di kalangan penceramah di Malaysia sendiri tidak alim dalam bab ini, tetapi menjaja ke sana ke mari konsep ikhtilaf ini). Apa yang kita dapat dengan mengharamkan Qunut subuh? Apa kepuasan kita? Adakah haram perkara ini? Takrifan etimologi bidaah memang membawa maksud semua perkara yang tidak dilakukan oleh Rasulullah. Namun adakah kesemua yang tidak Nabi buat akan membawa kepada Bidaah jika dilakukan seperti menaiki kereta, memasuki Universiti, menjadi pilot atau menggunakan internet? Mereka akan mengatakan masoleh mursalah. Adakah berwirid dan berdoa selepas solat, membaca yasin tidak menjadi maslahah? Memang tiada dalil qat'ie membenarkan perlakuan itu, tetapi haramkah? Kenapa sikap muslih diabaikan sehingga masyarakat kini mula menyalahkan guru KAFA yang dikatakan sesat mengajar perihal air musta'mal (iaitu pengkelasan air menurut Imam Syafi'e), sikap mahasiswa sains yang mula menyalahkan Imam Syafi'e, Imam Nawawi dan Imam Al Ghazali. Adakah ada maslahah dengan menggembar-gemburkan khilafiyyah ini?
Pada saya, isu ini isu ilmiyyah dan hanya sesuai untuk masyarakat yang berilmu tinggi serta khatam tasawwur hadis, ulum Quran serta tahu hujah-hujah para imam mujtahidin yang digunakan, bukan memborong, memukal, menggulung hujah mereka sekaligus, dengan bongkaknya. Kini masyarakat yang dirasuk ini, mula biadab, melarang ibu bapanya membaca yasin , berwirid secara jahar (kuat) serta pergi menyambut Maulidur Rasul, dengan hujahnya sesat dan bukan saranan Nabi…..pembaca silalah buat analisis sendiri, sejauh mana kesesatan ibu bapa mereka itu.
Ulama' dijarah semberono
Golongan agresif ini juga mula mengajar ilmu jarah dan ta'dil secara bebas kepada masyarakat yang buta ilmu nahu dan saraf, buta ulum mustalah dan ulum tafsir. Akibatnya golongan Qudhat mula membawa mendominasi dan bukannya pendakwah. Memang perkara yang bukan saranan dan Hadis Nabi tidak wajar dilakukan dan memang wajar ditentang jika dikatakan wajib untuk dilaksanakan, tetapi tidak seharusnya sehingga ke tahap membidaahkan secara membuta tuli. Mereka menjadikan Ulama' besar seperti Sheikh Islam Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim sebagai perisai hujah mereka, dengan harapan kita menyalahkan ulama'-ulama' ini. Tidak sama sekali. Ulama' tersebut adalah ulama' progresif yang ulung, berjihad dan membanteras bidaah yang nyata sesat dan kufur seperti ajaran bathiniyyah yang meninggalkan jihad. Tetapi pendokong salafiy kini tidak lantang menyatakan jihad mereka. Mereka bermain tarik tali pula dengan pendokong sekular dengan alasan maslahah. Kalau sekular dikatakan wasilah untuk maslahah, inikan pula mazhab ulama' mujtahid, inikan pula membaca yasin, inikan pula berwirid. Inilah sikap berpura-pura mereka. Mereka hanya berani meracuni para pelajar aliran kejuruteraan, aliran sains dan bukannya menjadikan ulama' sebagai sasaran hujah mereka. Imam As Syafi'e menyatakan bahawa beliau boleh menang dalam berhujah ilmiah dengan alim ulama' tetapi sering kali kalah dengan golongan jahil. Pada saya jangan berhujah dengan mereka. Kini mereka merekrut burung-burung kakak tua mereka yang akan menyerang kita dengan " Mana dalil? Mana Hadis?" sedangkan si kakak tua itu pun belum mempelajari hadis-hadis Nabi secara mendalam. Mereka melatih orang jangan bertaqlid dan jangan menyatakan kita bermazhab jika tak tahu bermazhab, sedangkan mereka juga hanya menghafal hujah-hujah dan hadis-hadis tertentu yang diajar oileh guru-guru mereka. Merekalah agen dogmatik sebenarnya. Mereka kata mereka alim, dengan hanya belajar syariah dan hadis 4 hingga 5 tahun sedangkan Imam Nawawi belajar 17 matapelajaran sehari selama berbelas-belas tahun (bukan 17 jam kredit). Insaflah..mungkin ada kesilapan dalam hujah ulama' silam, tetapi ini bukan kerana nafsu mereka tetapi kerana sebaran dan pentahqiqan hadis masih dalam proses perkembangan. Ini bukan hujah untuk kita membuang kesemua peninggalan khazanah ilmiah mereka. Memang sikap muhaddithin mentahqiq hadis dan perawi sejak dahulu sehingga era al Bani, tetapi bukannya mengajar individu-individu mentah belajar mentahqiq dengan serba kekurangan ilmu.
Siapakah ulama'?
Alim bukan sekadar memerlukan bijak dan petah dalam dialektik dan berhujah. Alim memerlukan kebijaksanaan, tawadhu', serta masa yang lama dalam mempelajari ilmu agama. Bongkak dan mendabik dada, menjarah ulama' lain serta menyatakan dia yang benar adalah sikap syaitan. Saya bertanggungjawab dengan statement ini kerana melihat terlalu ramai mahasiswa kini yang dangkal ilmunya mula mengeluarkan fatwa di jalanan dengan dia sendiri picik ilmunya, jahil Bahasa Arabnya apatah lagi ingin mengistinbatkan hukum daripada nas-nas Qat'i. Dalil yang sahih belum tentu mensabitkan hukum. Dan hadis terlalu banyak yang perlu dipertimbangkan agar adil dan tidak meninggalkan ciri dalamannya iaitu maqasid muslihnya secara lembut dan berhikmah.
Janganlah kerana ingin berpendapat sehingga menidakkan ijtihad ulama' dalam berjamaah, berbaiah setia kerana Allah kerana tiada manfaatnya jika isu itu disiar-siarkan. Anda berseronok berseminar, musuh Islam bertepuk tangan kepada anda. Tahniah kerana membantu mereka. Marilah kita mahasiswa Islam, mendalami ilmu agama dari mula dan bukannya terpikat dengan hujah-hujah indah. Umpama kita membeli ubat di pasar malam, terpikat kerana hujah, bukannya terpikat dengan isi kandungan kimia ubat itu atau nilai 'healing' yang ada lantaran kita sendiri jahil dalam ilmu farmasi. Ilmu hadis bukan untuk ditaqlid, jika jahil ikutilah ulama' muktabar (bukan ulama' mee segera di Kuala Lumpur ini). Ilmu hadis perlu didekati dengan tawadhu' dan sabar. Dengan kedangkalan ilmu saya sendiri (selaku pelajar Kejuruteraan) saya memberi lontaran ini dengan insaf agar kita berakhlak dalam ikhtilaf, merendah diri dengan ulama' terdahulu yang berilmu sambil berjihad, serta tawadhu' sesama mereka.
Hidup Islam !!!! Hidup Islam !!!!!!!

oleh:nik nurul iman nik hashim,,fakulti syariah undang undang USIM

No comments:

Post a Comment