Kuching - debar menunggu keputusan pilihanraya Sarawak |
Hari yang dinanti-nanti sudah tiba. Hari ini, Dewan Undangan Negeri Sarawak dibubarkan. SPR akan mengumumkan tarikh penamaan calon dan hari pengundian. Di antara sekarang sehingga hari pengundian, parti-parti politik dan penyokong mereka akan riuh-rendah dengan "funfair" pilihanraya.
Bagi sesetengah orang, pilihanraya adalah masa berpesta. Dari penamaan calon, sehinggalah kempen dan mengundi. Di tengah-tengah keriuhan itu nanti, adalah yang akan membuat ugutan saman dan laporan polis. Itulah pilihanraya yang dikenali oleh rakyat negara ini, dan di Sarawak juga begitu.
Pilihanraya kali ini memberikan makna yang berbeza kepada kelompok yang berbeza.
Bagi Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak, pilihanraya Sarawak mungkin memberikan "ilham" kepada beliau bilakah tarikh yang sesuai untuk mengadakan PRU13. Sekiranya BN menang besar, maka sekarang ialah masa yang paling sesuai untuk berbuat demikian. Bagaimanapun sekiranya BN tidak mengekalkan majoriti dua pertiga di DUN Sarawak, Najib mungkin memerlukan masa yang lebih. Walaupun banyak pihak meramalkan BN akan terus mengekalkan majoriti dua pertiga, namun dalam politik apa saja boleh berlaku. Lihat sajalah di Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Perak. Adakah BN lupa?
Najib juga boleh menggunakan pilihanraya Sarawak ini untuk menilai penerimaan rakyat kepada kepimpinan beliau dan 1Malaysia. Selepas beliau mengambilalih kepimpinan negara, BN mengalami kemenangan demi kemenangan, termasuklah mengekalkan Parlimen Batu Sapi yang mempunyai pengundi Cina yang cukup ramai dan mengambil kembali Parlimen Hulu Selangor yang terlepas kepada PKR dalam pilihanraya umum lalu.
Pilihanraya Sarawak membolehkan Najib untuk menilai peralihan sokongan pengundi, terutama sekali pengundi Cina kepada BN.
Dalam pilihanraya Batu Sapi dulu, empat peti undi (Jalan Sibuga, Cecily, Tanah Merah dan Jalan Leila) yang mempunyai 70% dan ke atas pengundi Cina, BN memperolehi 36% hingga 44% undi. Di Sibu, walaupun BN tewas dengan majoriti yang kecil, ia meraih sokongan di antara 28% hingga 47% peratus undi di 20 kawasan yang mempunyai 70% dan ke atas pengundi Cina.
Sokongan di kawasan majoriti Cina di Sibu dan Batu Sapi (kedua-duanya di Sabah dan Sarawak) yang diadakan selepas Najib menjadi Perdana Menteri adalah lebih baik dari di Permatang Pauh (antara 12% hingga 30% di tiga peti undi yang mempunyai 70% dan ke atas pengundi Cina) dan Bukit Gantang (antara 20% hingga 50% di empat peti undi 70% dan ke atas pengundi Cina).
Sokongan pengundi Melayu dan Bumiputera secara kepada BN secara umumnya adalah baik, manakala dalam konteks Sarawak, bilangan pengundi India adalah tidak besar.
Pilihanraya Sarawak juga akan menentukan masa depan Pakatan Rakyat, khususnya PKR. Seperti yang pernah saya tulis sebelum ini, DAP akan merupakan pemenang paling besar dalam pilihanraya Sarawak. Parti itu dijangka meletakkan calon di kesemua 19 buah kerusi yang ditandingi SUPP. Malah, DAP telah melakukan pendaftaran pengundi secara besar-besaran di kawasan ini.
Secara purata, peningkatan pengundi berdaftar di kawasan-kawasan ini ialah sekitar 2,600 orang berbanding hanya 1,000 orang ke bawah di kawasan yang ditandingi PBB, SPDP dan PRS - berdasarkan perbandingan daftar pemilih 2006 dan 2010. Saya pasti DAP Sarawak tidak akan memberikan ruang kepada PKR untuk meraih kemenangan hasil kerja kerasnya, termasuklah di Padungan yang sekarang dipegang oleh Dominique Ng (PKR).
PAS pula tidak bercita-cita besar. Parti itu cukup realistik dan dilaporkan akan bertanding di antara empat hingga enam kerusi sahaja (daripada 17 kerusi DUN Sarawak), tidak memungkinkannya menjadi pemain utama dalam politik Sarawak - sekurang-kurangnya pada masa ini.
Tumpuan sekarang ialah kepada PKR yang dikatakan "bernafsu besar" (istilah Presiden SNAP) ingin bertanding di 52 kerusi DUN Sarawak menyebabkan SNAP bertegas dan mengumumkan 16 orang calonnya. Sekiranya SNAP dan PKR tidak dapat berkompromi sebelum hari penamaan calon, pertandingan tiga penjuru dengan BN tidak dapat dielakkan.
Sekiranya PKR gagal menambah satu kerusi DUN Sarawak (dari satu kerusi Padungan sekarang), maka Dato' Seri Anwar Ibrahim boleh berhenti untuk bercakap menjadi Perdana Menteri. Malah, sekiranya Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian kalah untuk kali keempat di Ba'kalalan, PKR boleh melupakan hasratnya untuk bertapak di Sarawak.
Dan, akhir sekali pilihanraya Sarawak juga akan menentukan bentuk peralihan kuasa. Sekiranya BN berjaya mendapat majoriti dua pertiga di DUN Sarawak, Taib akan melepaskan jawatan Ketua Menteri secara tertib kepada penggantinya. Antara yang disebut ialah Tan Sri Adenan Satem, Dato' Amar Abang Johari Tun Openg dan Dato' Amar Awang Tengah Haji Hassan. Sekiranya Ahli Parlimen Tanjung Manis, Norah Abd Rahman dan Anggota Parlimen Igan, Dato' Wahab Haji Dollah bertanding dalam pilihanraya DUN Sarawak kali ini, mereka juga berpeluang menduduki kerusi tersebut.
Bagaimanapun, sekiranya BN gagal menguasai dua pertiga kerusi DUN Sarawak, Taib mungkin mengikuti jejak Tun Abdullah Ahmad Badawi selepas pilihanraya umum lalu - berhenti dalam keadaan yang tergesa-gesa dan mengalami tekanan dari pemimpin dan ahli parti sendiri.
Melihat kepada implikasi yang besar ini, maka semua pihak meramalkan pilihanraya kali ini akan menyaksikan persaingan sengit antara parti-parti yang bertanding.
Gendang sudah dipalu, silalah masuk ke gelanggang!
No comments:
Post a Comment