Monday, March 21

Pulau Pinang bantah bina loji nuklear


 

PULAU PINANG: Tiada sebab untuk Malaysia membina loji nuklear ketika negara yang lebih maju dan berteknologi tinggi  lebih maju membatalkan rancangan seumpama itu, kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Beliau menegaskan, kerajaan negeri membantah sebarang usaha membina loji nuklear di mana-mana lokasi di Malaysia, lebih-lebih lagi di negeri berkenaan.
Beliau memberi contoh bagaimana Jepun yang pakar dan memiliki teknologi sangat maju dan progresif, kini dihadapi dengan krisis nuklear paling serius dalam sejarah dunia sejak bencana Chernobyl 25 tahun lalu.
“Perlu diambil perhatian, tahap kawalan teknologi fusion nuklear di Malaysia terhad berbanding kepakaran di Jepun.
“Lagipun negara maju dan berteknologi tinggi seperti Jerman dan ekonomi kedua besar dunia seperti China sudahpun membatal rancangan itu di negara masing-masing,” katanya.
Kenyataan itu terkandung dalam surat yang dihantar kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan turut diemel kepada KeadilanDaily.
Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, keselamatan rakyat tidak harus diperjudi dan mendesak kerajaan Persekutuan membatal cadangan itu serta merta, apatah lagi rekod kerajaan dalam melaksanakan pembangunan sangat teruk dan tidak menyakinkan.
“Rekod prestasi sesetengah projek Kerajaan Persekutuan amat mengecewakan seperti ada bumbung yang bukan sahaja bocor tetapi juga runtuh.
“Sekiranya bumbung stadium, sekolah dan terminal bas pun boleh runtuh bagaimana kita boleh yakin tentang keselamatan dan kekukuhan sesuatu loji nuklear yang berisiko tinggi dan bahaya,” soal beliau.
Beliau mendesak Kerajaan Persekutuan menolak cadangan membina loji nuklear kerana terdapat pelbagai sumber tenaga alternatif yang lain yang boleh diterokai di negara ini

No comments:

Post a Comment