Monday, March 21

PENYAKIT POLITIK MALAYSIA::BAGAIMANA KITA MENGUBATINYA,,????

 

 
i
 
Quantcast

Penyakit Politik Malaysia

Oleh: Kassim Ahmad (19hb.Februari  2011)

kassim311@yahoo.com
Seperti manusia, parti politik juga boleh mengidap penyakit. Penyakit UMNO politik pragmatisme. Pragmatisme itu oporcunisme, dengan kata-kata lain. Apabila berjalan, kena pandang dekat saja, lalu berlanggar dengan kereta yang dia tidak nampak datang dari jauh! UMNO belajar falsafah ini daripada ahli falsafah utilitarian dan pragmatik Barat.
Untuk mengubati penyakit parti UMNO-BN ini, satu parti lagi timbul, menamakan diri mereka Pakatan Rakyat, bercita-cita untuk mengambil-alih pemerintahan Malaysia daripada UMNO-BN. Namun demikian, nampaknya, mereka pun ada penyakit juga. Nama penyakit itu Machiavellisme, yakni untuk mendapat kuasa, kaedah amoral atau pun tidak bermoral pun boleh! Kedua-dua penyakit ini memang amat berbahaya kepada Malaysia.
Bagaimana kita mengubatinya? Sebelum kita dapat mengubati penyakit-penyakit yang parah ini, kita mesti tahu punca-puncanya. Kedua-dua penyakit ini berpunca dari penjajahan — penjajahan budaya politik Barat.
Keperluan kita yang pertama dan yang pokok sekali sebagai manusia, khalifah Tuhan di Bumi ini, membebaskan diri kita secara total dari sistem perhambaan. Ikrar kita: “Tiada tuhan melainkan Allahâ” itu bermakna kita tunduk hanya kepada Kuasa Yang Sebenar yang mentadbir Alam ini. Dengan ikrar dan penjiwaan ikrar ini kita jadi bebas: kita tidak tunduk kepada kuasa-kuasa palsu, Maharaja atau Paus, kecuali kepada Kuasa yang Benar itu.
Kita rakyat Malaysia suatu keluarga besar, yang terdiri daripada beberapa sub-keluarga, Melayu, Cina, India dan lain-lain. Jadi, sistem politik kita seharusnya tidak berpecah dua: Kerajaan dan Pembangkang. Tidak bolehkah kita menyusun sebuah sistem politik yang selaras dengan cita-cita nasional kita untuk keselamatan dan kebahagiaan 28 juta rakyat kita sekarang? Apabila sebuah keluarga hendak mengadakan perkahwinan anak perempuannya, keluarga itu berunding tentang tarikh, bilangan jemputan, hidangan makanan, penyambut tetamu dan sebagainya. Semua pendapat ahli keluarga didengar dan dibincang, kemudian diambil satu keputusan berdasarkan perundingan itu.
Demikianlah patut dibuat oleh keluarga besar Malaysia tentang falsafah politik dan dasar negara — satu kerjasama yang baik berdasarkan kecintaan kita kepada bangsa dan negara (patriotisme Malaysia). Kita boleh ada banyak parti mewakili pelbagai jalur ideologi atau sub-keluarga, tetapi disatukan dalam satu kesatuan Ke-Malaysiaan yang harmonis.
Sistem dwi-parti (yakni Kerajaan/Pembangkang) menggunakan kaedah menyanggah yang satu oleh yang lain, “Checks and Balances,” kata Mat salleh. Asalnya dari ahli falsafah politik Inggeris Thomas Hobbs (1588-1679) yang mengajar bahawa masyarakat itu medan perang satu melawan semua. Ini merujuk kepada kejiwaan kebinatangan manusia primitif yang disebut dalam Surah al-Baqarah, ayat 36. Kita sudah harus berpindah dari kejiwaan primitif ini kepada kejiwaan bertamadun bekerjasama untuk kebaikan.
Tidak adakah ahli-ahli teori kita sendiri yang sanggup menggubal sebuah sistem politik baru mengikut garis ini? Tentu ada. Jangan perhambakan diri kita kepada sistem yang kita tiru dari Barat. Sejarah Barat sejarah menjajah dunia (walupun ada segi humanismenya, tetapi ini perkara lain); sejarah kita sejarah kena jajah. Mana boleh sama?
Lihat apa yang telah berlaku di negara kita. Percobaan kita untuk mengadakan sistem dwi-parti sudah gagal. Sebab itu suatu kuasa politik ketiga telah timbul. Pada jangka pendek, ia akan memecahkan kita kepada tiga puak. Lagi pun, contoh-contoh di Barat pun sudah menampakkan kegagalan sistem ini, bukan saja dalam negara masing-masing, tetapi juga dalam sistem antarabangsa. Masalah Palestin, masalah pembolotan senjata nuklier oleh sebuah kelab elit, masalah ancaman perang nuklier, masalah ketimpangan pembangunan, masalah kebelurun dan kemiskinan yang meluas di dunia, dan banyak lagi yang berpunca dari penyakit-penyakit yang telah saya sebut di atas.
Saya bukan menganjur sistem tunggal parti seperti dalam teori Komunisme. Saya menganjurkan sebuah sistem politik permuafakatan besar jamak parti berdasarkan patriotisme. Ini lebih sesuai dengan kejiwaan bertamadun. Kita ada dua tangan. Mengapa gunakan satu untuk merosakkan kerja yang satu lagi? Bukankah lebih baik kedua-duanya saling membantu melakukan kerja yang sama?
Lihat revolusi Mesir yang hebat itu, dan sekarang merebak ke seluruh rantau Arab. Mengapa? Kerana manusia sebagai khalifah Tuhan di Bumi, sebagai makhluk bebas dan berdaulat yang telah begitu lama diperbudakkan oleh pelbagai sistem perhambaan, mahukan taraf bebas dan berdaulat itu. Bukan kerana mereka tiru “demokrasi” di Barat, walaupun sistem demokrasi liberal itu lebih baik daripada sistem feudal atau autokrasi. Mereka insan yang baru bangkit dari tidur yang lama dengan kesedaran yang baru. Mereka mahukan kebebasan untuk menentukan nasib dan destini mereka dan anak-cucu mereka. Mereka tidak mahu diperhambakan lagi!
Demikian di Mesir; demikian juga di negara kita. Demikian juga di mana-mana. Kebangkitan rakyat menuntut sebuah dunia baru yang adil sedang berlaku. Hendaklah kita bersedia untuk membuat perubahan ini secara sukarela. Jangan kita dibakar api dulu sebelum kita mahu melakukan perubahan ini

No comments:

Post a Comment